Tuesday, 28 January 2014

Bersahabatlah Usah Bermusuhan

Bersahabatlah Usah Bermusuhan


Salah satu kekuatan yang perlu dipertingkatkan dalam pembinaan jati diri umat adalah melalui persaudaraan. Ya , persaudaraan yang tulen dan seharusnya menatijahkan kekuatan umat bermula daripada peringkat bawah lagi. Ibarat membina sebuah bangunan yang kukuh , ia memerlukan pelbagai struktur untuk saling memperkuatkan. Pembinaan masyarakat , ia memerlukan kepada pergantungan kepada sesama kita.

Kekuatan seperti ini hanya akan hadir apabila kita mesra dengan orang lain. Rahsia kejayaan bagi setiap individu walau dalam apa jua bidang adalah dengan memperbanyakkan jaringan persahabatan. Janganlah sesekali kita mengutuk dan mengecam orang lain tidak tentu pasal. Jauhi daripada besikap riyak , takbbur , sombong dan angkuh. Jika ini berlaku , bimbang kita tidak diterima sebagai sahabat. Malah matlamat untuk meluaskan ukhuwah tidak akan tercapai.

Sentiasa Bermesra
Antara amalan yang baik ialah dengan memberikan salam kepada ramai orang , tidak kira muda ke tua. Mengamalkan perbuatan mulia ini , dapat membina  jaringan persahabatan yang luas.

Inilah kekuatan kita iaitu kekuatan bermasyarakat. Sebab itu agama mengajar kepada kita jika melakukan korban , golongan yang paling afdal untuk diagihkan adalah di sekitar masyarakat sekeliling. Ia adalah lambing kekuatan ukhuwah yang dianjurkan dalam agama.

Kekuatan ukhuwah dalam persaudaraan yang ada ini akhirnya akan dapat memupuk kekuatan jihad dalam kalangan masyarakat. Begitulah hendaknya yang ingin kita lihat berlaku dalam kalangan anak muda. Anak-anak muda yang disantuni dengan baik dan diberikan semangat jihad akan menghasilkan kesan yang hebat.

Jauhi Rasa Takut
Jangan jadi sebaliknya apabila ada orang yang menakut-nakutkan anak muda kepada perkara yang bukan-bukan. Mereka tidak dididik untuk takutkan ALLAH , hari kiamat , azab di dalam kubur dan sebagainya.

Akhirnya , apabila fenomena ini berlaku , mereka akan jadi manusia yang tidak peka kepada agama. Solat tidak diambil berat , puasa tidak dilaksanakan , zakat diabaikan , akhlak tidak dibangunkan , malah gejala sosial pula dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Malu jauh sekali.

Inilah tandanya orang yang tidak takut mati. Apa yang ditakutinya hanyalah cukai jalan yang mati. Mereka takut melanggar lampuh merah , tetapi tidak takut untuk melanggar arahan ALLAH SWT.
Apabila semangat jihad tidak ada , maka akan lahirlah golongan masyarakat yang lemah untuk menolong agama ALLAH SWT. Malah tidak keterlaluan sehingga ada yang takut untuk menghulurkan sedekah kerana bimbang akan muflis. Begitulah lemahnya jihad dalam diri mereka. Sedangkan mereka tidak tahu , setiap ringgit yang dikeluarkan akan mendapat balasan di sisi ALLAH.

Malah kita tidak tahu apakah pula balasan yang akan ALLAH berikan kelak. Ingatlah , apabila kita memudahkan urusan orang lain , ALLAH akan memudahkan pula urusan kita.

Jika tidak di dunia , di alam kubur dan akhirat itulah yang lebih utama. Kenapa apa? Tidak lain dan bukan , di alam kubur kelak , tiada cahaya yang mampu menerangi kita kecuali amalan-amalan yang diredhai ALLAH termasuklah memudahkan urusan orang lain menerusi sedekah.

Justeru , jagalah hubungan dengan semua makhluk kerana hal itulah yang menjadi punca untuk ALLAH kasih dan cinta kepada kita. Waima seseorang itu bukan Islam sekalipun , berbuat baiklah. Tunjukkan akhlak mulia kepada mereka agar mereka sedar bahawa Islam itu indah dan selamat.

“Ya ALLAH bersihkan hatiku ini
Agar aku dapat menerima segala ketetapan-MU
Ya , ALLAH Ya Rahman
Aku hamba yang serba kekurangan
Maka hadirkan seorang teman
Sebagai pelengkap kepada kekuranganku

Ya ALLAH
Hadirkan di hati ini
Dengan rasa manisnya berukhuwah

Agar adanya syurga buatku dan dia kelak”

No comments:

Post a Comment