Monday, 15 December 2014

Jadilah Mukmin Yang Kuat

Jadilah Mukmin Yang Kuat


Jadilah seorang mukmin yang kuat , kerana mereka adalah yang paling disayangi ALLAH. Termasuk dalam golongan mukmin yang kuat itu adalah , mereka yang terbuka hatinya dalam menerima takdir ALLAH , tidak kira sama ada ia takdir yang baik atau buruk.

  Janganlah jadi seperti orang yang sebaliknya. Mereka menerima takdir yang baik , tetapi membenci takdir yang buruk. Hati mereka hanya menerima perkara yang mendatangkan kesenangan sahaja , tetapi tidak menolak perkara susah.

  Ingatlah , kuat bukan bermakna kita gagah mengangkat sebarang barangan. Kuat bukan bermakna kita hebat dalam memukul orang lain. Kuat juga bukan bermakna kita hebat , kerana mampu memandu kenderaan untuk tempoh yang lama tanpa berhenti.

  Namun , kuat seperti yang dimaksudkan adalah cekal hatinya dalam melalui ujian dan musibah yang menimpa. Walaupun di hadapannya musibah yang cukup besar , namun dia tidak mudah tenggelam punca. Jiwanya tenang bukan sahaja dalam menghadapinya , bahkan dapat melakukan gerak kerja yang baik dalam menyelesaikannya.

  Inilah mukmin yang kuat . Termasuk juga mereka yang kuat berusaha untuk meningkatkan diri ke arah kemajuan. Mereka tidak hanya berpeluk tubuh sahaja untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Namun , usaha yang dilakukan adalah begitu hebat sekali.

  Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi ALLAH  dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah , sedangkan setiap orang itu mempunyai kebaiknya (imannya) , oleh itu hendaklah engkau bersunguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu , serta hendaklah meminta pertolongan kepada ALLAH dan janganlah engkau bersikap segan dan malas ; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu , maka janganlah engkau berkata : Kalaulah aku lakukan itu dan ini , tentulah akan terjadi begitu begini , tetapi katakanlah : ALLAH telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-NYA Ia lakukan , kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” Hadis Riwayat Muslim


  Benar , jadilah mukmin yang kuat dalam menerima hakikat takdir daripada ALLAH SWT. Semakin kuat kita menerima segala ketentuan-NYA , sebenarnya semakin tenang hati dan jiwa kita. Bahkan , sekiranya kita dapat melihat dengan pandangan seorang hamba , setiap takdir yang ditetapkan kepada kita , akan kelihatan sebagai anugerah daripada-NYA.

No comments:

Post a Comment