Sunday, 7 December 2014

Terima Takdir ILAHI

Terima Takdir ILAHI


TAKDIR ALLAH SWT kepada seseorang insan adalah berbeza dengan insan. Ada orang yang ditakdirkan dengan derita , kala orang lain menerima takdir bahagia , kala ada yang sedang  berduka. Namun , semua itu adalah takdir daripada Yang Maha Esa.

  Takdir ALLAH juga tidak pernah dapat diramal. Apa yang disangka itu tewas , maka ALLAH pula menentukan disebaliknya. Ada orang yang mahukan sesuatu itu menjadi begini dan begitu , namun takdir ALLAH menentukan sebaliknya. Itulah takdir yang tidak mampu ditelah fikiran manusia.

   Ingatlah , antara kesan dan hasil kita beriman dengan takdir dan ketetapan ALLAH ialah , hati menjadi tenang. Bukan itu sahaja , bahkan hati yang sifatnya berbolak balik itu , tidak pernah risau dalam menjalani hidup ini.

  Namun , bagi mereka yang beriman dengan takdir ALLAH , hati mereka tenang dan tidak gundah gulana. Bahkan kerana yakin musibah yang berlaku itu adalah takdir , maka dia yakin bahawa perkara berkenaan pasti terjadi dan tidak mungkin dapat lari daripadanya.

  Yakinlah , apabila seseorang itu memahami takdir ALLAH dengan benar , tentu dia akan melalui segala musibah penuh ketenangan. Perkara ini pasti berbeza dengan orang lain tidak beriman pada takdir dengan benar.

  Hidup mereka pasti diiringi dengan kesedihan. Apa yang mereka rasakan hanyalah kegundahan dan kegelisahan. Mereka sukar untuk menerima sesuatu takdir. Malah bimbang ada yang seolah-olah menyebabkan takdir ke atas dirinya. Ini dimensi yang berbeza bagi orang beriman dan yang tidak beriman dengan takdir ALLAH.

  Ada orang , kerana keyakinannya tinggi terhadap segala ketentuan ALLAH , maka hatinya tetap tenang. Ketika orang lain mencela-cela hidupnya sendiri kerana sesuatu musibah , melakukan pelbagai perkara yang pelik lagi buruk dan sebagainya , bagi orang yang beriman pula , mereka tidak bersikap demikian.

  Ketika ini , hatinya menjadi tenang dan aman. Walaupun berhadapan dengan musibah yang kelihatannya cukup berat , namun hatinya yang tenang melaluinya seolah-olah lupa akan kesengsaraan yang ditempuhi.

  Inilah jiwa yang hebat. Jiwa ini adalah jiwa yang dapat menerima segala ketentuan ALLAH. Jiwa ini juga menunjukkan betapa ajaibnya berbaik sangka kepada ALLAH. Betapa mereka yakin bahawa apa yang ditentukan itu adalah yang terbaik untuk dirinya. Bahkan ,mungkin sebagai ujian kepadanya. Namun , mereka tetap tenang.


  Pendirian mereka berbeza berbanding dengan orang lain tidak kuat imannya. Mereka yang lemah iman cenderung untuk menyesali sebarang takdir yang buruk kepadanya. Ia termasuk dalam perkara yang dilarang bagi seseorang mukmin melakukannya.

No comments:

Post a Comment