Monday, 2 February 2015

Kecantikan Akhlak Adalah Kecantikan Yang Paling Berkualiti

Kecantikan Akhlak Adalah Kecantikan Yang Paling Berkualiti

Ingatlah , kecantikan seseorang itu bukanlah terletak pada rupa paras , tetapi pada akhlak. Inilah kecantikan yang sebenar-benarnya dan paling berkualiti. Tetapi sayang, ramai yang tertipi dengannya. Sangka mereka , kecantikan rupa paras adalah segala-galanya. Sedangkan akhlak pula sebaliknya. Sebab itulah banyak produk kecantikan dijual hari ini demi mencantikan wajah dan tubuh badan.

  Sebagai makhluk yang diciptakan ALLAH SWT , manusia itu sememangnya sempurna. Bagaimana pun , makhluk yang paling baik adalah mereka yang memiliki akhlak terpuji. Inilah mahalnya nilai seseorang Muslim sekiranya memiliki akhlak terpuji dan terbaik.

  Islam tidak menyebut manusia yang paling baik adalah mereka yang mancung hidungnya , memiliki mata yang menawan , mempunyai dada yang bidang atau sebagainya. Namun , apa yang Islam letakkan sebagai makhluk terbaik adalah mereka yang memiliki akhlak terpuji.

Apakah Akhlak Terpuji Ini?

Ia merangkumi akhlakul karimah iaitu bersangka baik , bertakwa , sabar , adil , redha , tawakal , bijaksana , qana’ah , amal soleh , rela berkorban dan banyak lagi. Andai sifat-sifat ini dapat diterapkan dalam diri , alangkah moleknya. Ini kerana ALLAH SWT tidak melihat kepada kecantikan dan lawanya seseorang itu tetapi , terhadap dua perkara iaitu ketakwaan dan perangai baik yang dimiliki.

  Hakikiatnya , memiliki akhlak mulia membuatkan kitalah manusia yang paling cantik. Inilah adilnya Islam meletakkan nilai kepada umatnya. Maka , buat apalah kita hendak menyombongkan diri hanya kerana kecantikan luaran yang tidak akan kekal itu ?

  Lupakah kita , walaupun ada yang memiliki rupa paras yang cantik , akhir nanti kita tetap menjadi penghuni kubur. Di sana kita hanya berbekalkan kain kafan semata-mata yang membaluti tubuh. Ketika itu , di mana lagi kecantikan yang dibangga-banggakan? Sudah pasti tiada.

  Bagi mereka yang berbangga kerana memiliki kecantikan ketika usia muda , akan tetapi mengalami kedutan di kulitnya apabila tua menjengah. Bukan sahaja orang lain , bahkan kita sendiri tidak mahu melihat kedutan di pipi gebu sekarang ini. Jadi , apakah yang mahu dibanggakan dengan memiliki kecantikan sementara?

  Begitu juga jangan sesekali berbangga dengan pangkat yang kita miliki. Dahulu , mungkin kerana kuasa , kita dihormati. Namun , apabila pencen , siapa lagi yang mahu menghormati kita. Ketika berkuasa dahulu memanglah dipandang hebat. Namun , ingatlah bila-bila masa sahaja kita boleh jatuh jua dengan kuasa yang ada.

  Jika rasa mahu menyombong juga , cuba ingat kembali kisah Nabi Sulaiman. Baginda memiliki kekuasaan yang luas dan banyak sehingga tidak dimiliki selainnya , namun sombong dengan kuasa dan kekayaan , itu mengikuti jejak langkah Qarun , Namrud dan Firaun?

Jauhi Sifat Sombong

Jadi , janganlah kita bersifat sombong. Apa yang ALLAH berikan kepada kita ini , adalah bersifat pinjaman semata-mata. Kadang-kadang manusia apabila bersikap sombong , cara berjalan pun tetap kelihatan sifat sombongnya itu. Sedangkan ALLAH berfirman dalam surah al-Isra , ayat 37 yang bermaksud :
  “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong , kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.”

  Ingat , kesombongan kita tidak akan ke mana. Malah , tidak akan sesekali dapat menembusi bumi dan tidak akan mampu mencapai setinggi langit. Sombong juga tidak membawa kita ke mana , kecuali hanya dibenci setiap makhluk. Sebagai orang yang beriman , ingatlah bahawa sifat sombong merupakan hak ALLAH SWT.


No comments:

Post a Comment