“Daripada
Abu Hurairah RA , dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang
menempuh jalan untuk menuntut atau mencari ilmu , maka ALLAH memudahkannya
untuk menempuh jalan ke syurga.” – Riwayat Tirmidzi
Hadis
ini pula menyebut tentang orang yang menempuhi jalan untuk menuntut ilmu.
Apabila digunakan perkataan ‘menempuh’ kerana secara tidak langsung ia
menunjukkan berapa beratnya jalan yang harus dilalui.
Lihatlah sendiri sejarah ulama-ulama
terdahulu yang bersusah payah mengembara , berkelana berjalan kaki , menunggang
unta atau kuda untuk mencari ilmu seperti yang berlaku kepada imam-iman
terdahulu. Kemudian lihat pula kepada kesungguhan ulama-ulama selepas ini juga
yang mengembara dengan kenderaaan , kapal laut meninggalkan tanah air tercinta
semata-mata untuk menuntut ilmu di kejauhan. Berapa gigih dan
bersungguh-sungguhnya mereka demi menyampaikan pula ilmu tersebut kepada
masyarakat awam.
Selepas terhasil dengan ilmu , mereka kembali
semula ke tanah air untuk menyebarluaskan ilmu sama ada dengan kitab tulisan
mereka sendiri atau mendirikan sekolah pondok juga mengajar di pusat pengajian.
Jihad mereka diteruskan lagi dengan mendidik anak bangsa.
Mendidik itu tidak mudah. Ia memerlukan
kesabaran dan tidak boleh berputus asa. Ini kerana kesabaran itulah yang akan
menentukan berjaya atau tidak seseorang guru dalam mendidik anak muridnya. Dan
di sinilah wujudnya pula jihad mendidik manusia ke arah kebaikan.
Melihat rentetan perjalan seorang muallim
(pendidik) bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru , mereka berhak menerima
tawaran ALLAH iaitu syurga di atas usaha , penat dan jerih terpaksa mereka
lalui demi mendalami ilmu. Bukan itu sahaja , penuntut ilmu juga akan didoakan
oleh segenap makhluk di bumi sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya
para malaikat , segala makhluk yang berada di langit dan di bumi sehingga semut
yang berada di dalam lubangnya serta ikan di lautan , sentiasa mendoakan orang
yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. Di samping itu pula seluruh penduduk
bumi dan langit akan memohonkan keampunan kepada ALLAH untuk para ulama.” – Riwayat al-Tabrani , Kanz
al-Ummal
No comments:
Post a Comment